Sunday 13 May 2012

Ajaibnya Waktu Subuh

Subuh adalah waktu paling ideal untuk memulakan apa jua pekerjaan
 Subuh adalah salah satu waktu yang menjadi dugaan bagi ramai insan. Lalu, Allah menguji keimanan hamba-hambaNya dengan mewajibkan setiap yang mengaku Islam untuk menunaikan solat Subuh. Hal ini kerana rata-rata mereka tidak sanggup untuk mengorbankan keenakan tidur yang lena berteman tilam dan bantal yang empuk. Tetapi tidak bagi mereka yang benar-benar ikhlas mengaku ke Esaan Allah s.w.t sanggup meninggalkan kenikmatan tidur yang sementara demi taat dan patuh pada yang Maha Pencipta.
Solat berjemaah membawa seribu satu kelebihan kepada sesiapa yang menunaikannya.
Sebagaimana sikap dan teladan yang ditunjukkan oleh para salafussoleh yang amat mengambil berat terhadap solat Subuh berjemaah. Misalnya:
1. Khalid Al-walid tidak akan memulakan perang kecuali setelah selesai solat Subuh.
2. Yusuf bin Tashifin, seorang panglima perang Muslim tidak memulai Perang al-Zilaqah yang terkenal itu kecuali setelah solat Subuh berjemaah bersama bala tenteranya.
3. Panglima Qutuz, wira Islam yang menyekat kemaraan tentera Monggol dalam Perang 'Ain Jalut juga memulakan peperangan selepas solat Subuh berjemaah dengan tenteranya.
4. Salehuddin Al-Ayyubi mendisiplinkan tenteranya agar istiqamah untuk solat berjemaah di masjid dan itu menjadi ukuran dalam menyusun barisan tenteranya di medan perang.
5. Sultan Muhammad Al-Fatih (seorang raja yang baik), pembebas kota Konstantinopel yang begitu prihatin tentang solat berjemaah dirinya dan juga barisan tenteranya.

>>Jika ingin mencapai kejayaan, teladanilah orang-orang yang mencipta kejayaan<<
Prinsip tersebut dipatuhi oleh para Sahabat Rasulullah kerana Baginda sendiri amat menitik berat soal solat Subuh berjemaah serta mengutamakan keberkatan yang ada pada waktu Subuh.

Baginda memilih waktu subuh untuk menghantar utusan dakwahnya selain memulakan perang Badar misalnya pada waktu tersebut.
Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik: "Pada waktu perang Badar, Rasulullah s.a.w solat Subuh pada awal fajar. Kedudukan Baginda pada saat itu sangat hampir dengan musuh, lalu Baginda memerangi mereka." (Riwayat An-Nasa'i)

Lalu mengapa umat yang menjaga solat Subuh berjemaah dijanjikan kemenangan??
Kerana mereka telah berjaya menjalani tahap-tahap pentarbiahan, mujahadah (melawan hawa nafsu) dan ujian bagi memantapkan keimanan dan ketaqwaan kerana dua perkara ini ditempa melalui ujian.
Bukan mudah untuk bangun daripada tidur, bersuci dan kemudian bergerak ke masjid untuk menunaikan solat secara berjemaah.

Bayangkan seseorang terpaksa mengorbankan perasaan nikmat dan melawan hawa nafsunya sejak awal-awal lagi bagi mematuhi perintah Allah.
Namun bagi mereka yang berjaya melakukannya, Allah akan mengurniakan padanya kekuatan untuk melawan bukan sahaja musuh batinnya (hawa nafsu dan syaitan) malah turut mampu menentang musuh-musuh Islam (Yahudi, Nasrani dan orang Munafik).


Amat sukar untuk bangun Subuh namun nafsu itu perlu dilawan
 Sumber: subuh prayer,  http://www.youtube.com/watch?v=PtRZXynYbAg

Justeru, marilah kita sama-sama melatih diri untuk mengorbankan rasa cinta pada dunia yang sementara...untuk mencari bekal dan kekuatan...bagi menempuh jalan syurga yang penuh onak dan duri...demi kejayaan abadi di akhirat kelak....amin Ya Allah...

*sumber: Artikel Bertajuk 'Rahsia dan keajaiban solat Subuh' karangan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, Solusi Isu 36.  
~~insan itu lupa...perlu saling mengingatkan...:)~~

1 comment: